Zubair Bin Awwam


Assalamualaikum,

Untuk entry kali ini aku nak bawa satu kisah sahabat Rasulullah (s.a.w) iaitu Zubair Bin Awwam yang dikenali antara 'assabiquunal awwaluun' iaitu sahabat terawal (memeluk islam). Dia masuk Islam pada usianya yang masih muda, 15 tahun.

Setiap kali nama Thalhah disebut pasti nama Zubair juga disebut. Dan setiap kali disebut nama Zubair, nama Thalhah pun pasti disebut.

Sewaktu Rasulullah SAW mempersaudarakan para sahabatnya di Makkah sebelum hijrah, beliau mempersaudarakan Thalhah dengan Zubair. Sudah sejak lama Rasulullah (S.A.W) bersabda tentang keduanya secara bersamaan seperti sabda beliau, “Thalhah dan Zubair adalah tetanggaku di syurga.”

Kedua-duanya masih dari keturunan Rasulullah (S.A.W). Thalhah masih keturunan sebelah datuk Rasulullah yang bernama Murrah bin Ka’ab, sedangkan Zubair masih keturunan datuk Rasulullah yang bernama Qusai bin Kilab. Shafiyah, ibu Zaubair, juga ibu saudara Rasulullah.


Thalhah dan Zubair mempunyai banyak persamaan dalam menjalani kehidupan seharian. Masa remaja, kekayaan,dermawan, keteguhan dalam beragama dan keberanian mereka hampir sama. Keduanya termasuk orang-orang yang masuk Islam di masa-masa awal dan termasuk sepuluh orang yang dikhabarkan oleh Rasulullah (SAW) masu
k syurga, termasuk 6 orang yang diamanah Khalifah Umar untuk memilih khalifah pengganti. Bahkan sehingga saat kematian keduanya adalah hampir sama.



Seperti yang telah kita sebutkan, Zubair termasuk orang-orang yang masuk Islam di masa-masa awal, kerana ia termasuk 7 orang pertama yang masuk Islam, dan sebagai perintis perjuangan di rumah Arqam. Usianya waktu itu baru 15 tahun. Ia telah diberi petunjuk,cahaya dan kebaikan ketika remaja.

Dia hebat menunggang kuda dan memiliki keberanian sejak kecil. Bahkan, ahli sejarah menyebutkan bahawa pedang pertama yang dihunuskan untuk membela Islam adalah pedang Zubair bin Awwam.

Di awal kemunculan Islam, jumlah kaum muslimin masih sedikit dan masih bermarkas di rumah Arqam, terdengar berita bahawa Rasulullah terbunuh. Zubair terus menghunus pedang lalu mengelilingi kota Makkah laksana tiupan angin kencang, padahal usianya masih muda belia.

Yang pertama kali dilakukannya adalah memeriksa kebenaran berita tersebut. Seandainya berita itu benar, ia bertekad menggunakan pedangnya untuk memenggal semua kepala orang-orang kafir Quraisy atau dia sendiri yang gugur.

Di satu tempat, di bahagian kota Makkah yang agak tinggi, ia bertemu Rasulullah. Rasulullah menanyakan maksudnya. Lalu dia menceritakan berita yang didengarinya dan menceritakan tekadnya. Maka Rasululullah pun mendoakan agar Zubair selalu diberi kebaikan dan pedangnya selalu diberi kemenangan.

Sekalipun Zubair seorang bangsawan yang dipandang mulia, namun dia juga merasakan penyiksaan kaum Quraisy. Orang yang disuruh menyiksanya adalah pakciknya sendiri. Dia pernah diikat dan dibungkus tikar lalu diasapnya hingga dia sukar untuk bernafas. Di saat itulah pakciknya berkata, “Larilah dari Tuhan Muhammad, akan kubebaskan kamu dari seksa ini.”

Meskipun masih muda belia, Zubair menjawab dengan tegas, “Tidak! Demi Allah, aku tidak akan kembali kepada kekafiran untuk selama-lamanya.”

Zubair menyertai hijrah ke Habasyah dua kali. Kemudian ia kembali untuk mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah, hingga tidak satu pun peperangan yang tidak disertainya. Banyaknya bekas luka pedang dan tombak di tubuhnya adalah bukti keberanian dan
kepahlawanannya.

Marilah kita dengarkan cerita seorang rakannya yang melihat bekas luka yang hampir memenuhi sekujur tubuhnya.

“Aku pernah bersama Zubair bin Awwam dalam satu perjalanan dan aku melihat tubuhnya. Ada banyak bekas sebatan pedang. Di dadanya ada beberapa lubang bekas tusukan tombak dan anak panah. Aku berkata kepadanya, ‘Demi Allah, yang kulihat ditubuhmu belum pernah kulihat di
tubuh orang lain.’ Ia menjawab, “Demi Allah, semua luka-luka ini mengenai aku ketika bersama Rasulullah dalam peperangan membela agama Allah.”




Sesudah Perang Uhud, ketika pasukan Quraisy sedang dalam perjalanan pulang ke Makkah, Zubair dan Abu Bakar diperintah oleh Rasulullah (SAW) supaya memimpin kaum muslimin mengejar mereka agar mereka menganggap kaum muslimin masih mempunyai kekuatan, sehingga mereka tidak berfikir untuk menyerbu Madinah.

Abu Bakar dan Zubair membawa 70 tentera muslim. Sekalipun Abu Bakar dan Zubair sebenarnya sedang mengintip satu pasukan yang menang berperang dan berjumlah jauh lebih besar, namun kecerdikan dan intipan yang digunakan keduanya berhasil mengkucar-kacirkan mereka. Mereka menyangka bahawa pasukan yang dipimpin Abu Bakar dan Zubair adalah pasukan pertama dan di belakang pasukan ini masih ada pasukan yang jauh lebih besar. Tentu saja ini membuat mereka takut. Mereka pun mempercepatkan langkah menuju ke Makkah.

Di perang Yarmuk, Zubair memimpin satu pasukan tersendiri. Ketika banyak prajuritnya yang lari ketakutan melihat jumlah pasukan Rom yang begitu banyak, ia berteriak, “Allaahu Akbar”, lalu menyerbu ke arah pasukan Rom sendirian dengan pedangnya.

Dia sangat rindukan mati syahid. Ia berkata, “Thalhah bin Ubaidillah memberi nama anak-anaknya dengan nama nabi-nabi padahal tidak ada nabi setelah Muhammad SAW. Kerana itu, aku memberi nama anak-anakku dengan nama para syuhada dengan harapan mereka syahid.”

Ada yang diberi nama Abdullah dari nama Abdullah bin Jahsy. Ada yang diberi nama Mundzir dari nama Mundzir bin Amru. Ada yang diberi nama Urwah dari nama Urwah bin Amru. Ada yang diberi nama Hamzah dari nama Hamzah bin Abdul Muthalib. Ada yang diberi nama Ja’far dari nama Ja’far bin Abi Talib. Ada yang diberi nama Mushab dari nama Mushab bin Umair. Ada yang diberi nama Khalid dari nama Khalid bin Sa’id. Seperti itulah, semua anaknya diberi nama dengan nama-nama para syuhada dengan harapan boleh syahid seperti mereka.

Disebutkan dalam buku sejarah, “Zubair tidak pernah menjadi pemerintah atau gabenor. Tidak pernah menjadi pegawai pengutip pajak atau cukai. Ia tidak pernah menduduki jabatan penting kecuali sebagai pejuang perang membela agama Allah.”

Ia sangat percaya dengan kemampuannya di medan perang dan itulah kelebihannya. Meskipun pasukannya berjumlah 100 ribu orang tentera, namun ia seakan-akan sendirian di medan pertempuran. Seakan-akan dia sendiri yang memikul tanggung jawab perang.

Keteguhan hatinya di medan perang dan kecerdasannya dalam mengatur strategi peperangan adalah keistimewaannya.




Dia melihat sendiri gugurnya bapa saudaranya iaitu Hamzah di Perang Uhud. Dia juga melihat bagaimana tubuh bapa saudaranya itu dikeronyok oleh pasukan kafir. Ia berdiri dekat dengan jenazah bapa saudaranya itu. Terdengar bunyi gigitan giginya dan genggaman pedangnya semakin erat. Hanya satu yang difikirkannya, iaitu balas dendam. Akan tetapi, wahyu segera turun melarang kaum muslimin melakukan balas dendam.
***

Ketika pengepungan terhadap Bani Quraidzah sudah berjalan lama tanpa membawa hasil, Rasulullah menugaskan Zubair dan Ali bin Abi Talib. Keduanya berdiri di depan kubu musuh yang kuat dan berkata, “Demi Allah, mari kita rasakan apa yang dirasakan Hamzah. Atau, akan kita buka benteng mereka.” Keduanya melompat ke dalam kubu. Dengan kecerdasannya, ia berjaya menakutkan orang-orang yang berada dalam dan berjaya membuka pintu benteng
sehingga pasukan Islam menyerbu ke dalamnya.
***

Di perang Hunain, suku Hawazin yang dipimpin Malik bin Auf menderita kekalahan yang memalukan. Tidak boleh menerima kekalahan yang dideritai, Malik berserta beberapa tenteranya bersembunyi di sebuah tempat, mengintai pasukan Islam dengan bermaksud membunuh para panglima Islam. Ketika Zubair mengetahui kelicikan Malik, ia terus menyerang mereka seorang diri dan berjaya mengkucar-kacirkan mereka.

Rasulullah sangat sayang kepada Zubair. Bahkan beliau pernah menyatakan kebanggaannya atas perjuangan Zubair. “Setiap nabi mempunyai pembela dan pembelaku adalah Zubair bin Awwam.”

Bukan kerana sebagai saudara sepupu dan suami dari Asma binti Abu Bakar yang bergelar “Dzatun Niqatain” (memiliki dua selendang), melainkan hanya kerana pengabdiannya yang luar biasa, keberaniannya yang tiada dua, sifat pemurahnya yang tidak terkira dan pengorbanan diri serta hartanya untuk Allah tuhan alam semesta.

Sungguh tepat apa yang dikatakan Hasan bin Tsabit ketika menukilkan sifat-sifat Zubair Bin
Awwam di dalam bait syairnya.

"Janjinya kepada Nabi selalu ia tepati
Atas petunjuk Nabi ia berbakti
Dialah sang pembela sejati
Kata dan perbuatannya bagai merpati

Di jalan Nabi, ia berjalan
Bela kebenaran sebagai tujuan

Jika api peperangan sudah menyala
Dialah penunggang kuda tiada dua
Dialah pejuang tak kenal menyerah

Dengan Rasul, masih keluarga
Terhadap Islam, selalu membela

Pedangnya selalu siaga
Kala Rasul dihadang bahaya
Dan Allah tidak ingkar pada janji-Nya
Memberi pahala tiada terkira"
***



Beliau seorang yang tinggi budi pekerti dan berakhlak mulia. Keberanian dan sifat pemurahnya bagai dua kuda yang digadaikan.

Beliau seorang usahawan yang berjaya. Harta kekayaannya melimpah ruah. Semuanya ia dermakan untuk kepentingan Islam hingga saat mati mempunyai hutang.

Sifat dermawan, keberanian, dan pengorbanannya hasil dari sikap tawakalnya yang sempurna kepada Allah. Kerana dermawannya hingga ia rela mendermakan nyawanya untuk Islam.

Sebelum beliau meninggal dunia,dia berpesan kepada anaknya untuk melunaskan semua hutang-hutangnya, “Jika kamu tidak mampu melunaskannya, mintalah kepada pelindungku.”
Anaknya bertanya, “Siapa pelindung yang ayah maksudkan?”
Zubair menajwab, “Allah! Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.”

Di kemudian hari,anaknya bercerita, “Demi Allah, setiap kali aku menghadapi kesulitan membayar hutangnya, aku berkata, ‘Wahai Pelindung Zubair, lunaskanlah hutangnya.’ Maka Allah melunaskan hutangnya.”

Di perang Jamal seperti yang tersebut dalam kisah Thalhah, perjalanan hidup Zubair berakhir.

Ketika Zubair mengetahui sebab dan punca terjadinya perang Jamal, lalu Zubair meninggalkan perang (tidak mahu mengikuti perang), dia diintip oleh sebilangan yang ingin perang diteruskan.
Ketika Zubair sedang melaksanakan solat, mereka menikam Zubair.

Setelah itu, si pembunuh pergi menghadap Khalifah Ali, mengkhabarkan bahawa dia telah membunuh Zubair. Dia berharap berita itu menyenangkan hati Saidina Ali kerana yang si pembunuh itu tahu Ali memusuhi Zubair.

Ketika Saidina Ali mengetahui ada pembunuh Zubair hendak menemuinya, lantas dia berseru, “Katakanlah kepada pembunuh Zubair putera Shafiah bahawa orang yang membunuh Zubair tempatnya di neraka.”

Ketika pedang Zubair ditunjukkan kepada Saidina Ali, ia menciumnya. Lalu ia menangis dan berkata, “Demi Allah, sekian lama pedang ini melindungi Nabi dari bahaya.”
***

Adakah kata yang lebih indah dari kata-kata Khalifah Ali untuk melepas kepergian Zubair?
Salam sejahtera untukmu, wahai Zubair, di alam kematian.
Beribu salam sejahtera untukmu, wahai pembela Rasulullah. [sumber : 60 Sirah Sahabat Rasulullah SAW]
Share on Google Plus

About Saiful Islam

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

1 passengers: