Perang Mu'tah



Bismillah..

Peperangan ini berlaku pada bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah. Mu'tah ialah sebuah perkampungan yang terletak di daerah syam dan kini dikenali sebagai Kirk.

Peperangan ini meletus disebabkan pembunuhan utusan kaum muslimin iaitu Harith bin Umair Al-Azdi oleh penguasa Basra iaitu Syurahbil bin Amru yang bersekutu dengan pemerintah Rom. Oleh sebab itu Rasulullah (SAW) telah menyeru kepada kaum muslimin untuk membentuk satu gerombolan tentera bagi membalas dendam atas kematian Harith bin Umair Al-Azdi. Tidak lama kemudian terbentuk satu pasukan tentera seramai 3000 orang bersiap sedia untuk berangkat ke Mu'tah.

Rasulullah (SAW) telah melantik Zaid bin Haritsah sebagai panglima perang,bahkan melantik Jaafar bin Abi Talib pengganti andai Zaid bin Haritsah gugur,kemudian melantik Abdullah bin Rawahah sebagai panglima perang andai Jaafar bin Abi Talib gugur syahid. Dan menyeru agar melantik dikalangan tentera andai Abdullah bin Rawahah turut gugur. Kemudian Rasulullah (SAW) menyeru agar pasukan muslimin berunding dan mengajak pihak Rom memeluk Islam,andai mereka menolak barulah peperangan dimulakan.

Menurut riwayat Ibnu Ishaq,Rasulullah (SAW) dan beberapa sahabat yang tidak ikut serta dalam peperangan tersebut telah mengucapkan selamat jalan kepada tentera islam dan parajurit ketika mereka melangkah keluar dari Madinah. Ketika itu Abdullah bin Rawahah menangis tersedu-sedu,kemudian dia ditanya mengapa menangis,maka jawabnya:

“Apa yang menyebabkan anda menangis?“ Lalu dia menjawab: “Demi Allah, bukan kerana saya cinta dunia juga bukan kerana perpisahan dengan kalian, tetapi aku pernah mendengar Rasulullah (saw) membaca salah satu ayat Al-Quran yang menyebutkan neraka: “Dan tidak ada seorang pun di antara kamu yang tidak mendatanginya (neraka). Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu ketentuan yang sudah ditetapkan.“ (Maryam ayat:71 ) . Aku tidak pasti apakah aku akan kembali setelah mendatanginya.

Ketika pasukan tentera islam mula berangkat pergi,maka berdoalah kaum muslimin, "semoga Allah menyertai kalian,dan melindungi kalian pulang dalam keadaan yang baik". Kemudian Abdullah bin Rawahah mengatakan: " Aku memohon keampunan kepada Tuhan,dan tebasan pedang yang mengakhiri kehidupanku atau lemparan tombak menembusi dada dan jantung agar orang menziarahi pusaraku dan berdoa semoga Allah melimpahkan petunjuk dan kurniaanya bagi orang yang pergi berperang.

Setelah itu berangkatlah parajurit Islam ke medan perang dan diketahui berita keberangkatan mereka itu oleh pihak Rom,seraya membentuk satu pasukan bala tentera bagi menghadapi pasukan kaum muslimin. Heraclius penguasa Rom telah membentuk satu bala tentera yang ramai hingga mencecah lebih 100,000 orang. Dalam waktu yang sama Syurahbil bin Amru juga mengumpulkan tenteranya yang terdiri daripada kabilah Lakham,Juzdan,Qa'in dan Bahra juga mencecah angka 100,000 orang tentera.

Berita ini sampai kepada pihak kaum muslimin,dan kemudian berhenti selama 2 malam di satu daerah bernama Muan bagi membincangkan strategi bagi menghadapi serangan Rom. Beberapa orang dikalangan kaum muslimin mencadangkan agar melaporkan maklumat kepada Rasulullah (SAW) dengan harapan baginda akan menambah pasukan tentera atau setidak-tidaknya memberi pendapat. Akan tetapi Abdullah bin Rawahah tidak bersetuju dengan cadangan tersebut lalu membangkitkan semangat dengan ucapan beliau.

"Wahai saudara-saudara,adakah kalian tidak menyukai mati syahid yang menjadi tujuan kita berangkat ke medan perang ini? Kita berperang bukanlah bergantung kepada banyaknya jumlah pasukan tentera atau besarnya kekuatan tetapi hanyalah semata-mata kerana agama yang dikurniakan Allah (SWT) kepada kita. Kerana itu,marilah kita maju kehadapan! Tidak ada pilihan selain dari salah satu kebajikan iaitu kemenangan ataupun mati syahid.

Peperangan tidak dapat dielakkan,kedua-dua pasukan kini bertemu di Kirk. Berdasarkan kekuatan tentera dan jumlah senjata,pihak Rom dijangka dapat mengatasi kaum muslimin. Peperangan meletus dengan sengit,dan akhirnya Zaid bin Haritsah yang membawa panji islam gugur syahid di medan perang,kemudian diganti oleh Jaafar bin Abi Talib dan maju menghadapi musuh dengan berani. Di tengah sesaknya pertempuran,Jaafar turun dari kuda tunggangannya lalu ia membunuh kudanya itu kerana bimbang kudanya jatuh ke tangan pihak musuh. Kemudian dia terus berlawan sambil melemparkan bait-bait syair:

Alangkah dekatnya syurga,
Harumnya semerbak dan sesegar minumannya,
Kita turunkan seksa ke atas orang-orang Rom yang kafir,
Nun jauh nasabnya,
Pastilah aku yang akan memeranginya,

Jaafar bin Abi Talib terus menyerang sehingga beliau ditetak oleh pedang tentera Rom dan terbelah dua tubuhnya,dan terdapat hampir 50 tusukan pedang di badannya yang semuanya di bahagian hadapan. Akibat daripada itu,Abdullah bin Rawahah terus menjalankan tugas membawa panji Islam dalam peperangan itu. Abdullah bin Rawahah terus melangkah seraya bersyair:

Wahai jiwa, engkau harus terjun dengan suka atau terpaksa
Musuh-musuh telah maju ke medan perang
Tidakkah engkau rindukan syurga
Telah lama engkau hidup tenang
Engkau hanya setitis air yang hina

Lalu Abdullah bin Rawahah bertempur,tidak lama kemudian dia juga mengikuti jejak langkah Zaid bin Haritsah dan Jaafar bin Abi Talib yang gugur syahid. Tidak mahu melihat kaum muslimin dikalahkan, dengan pantas Tsabit bin Arqad mencapai panji Islam,akan tetapi Tsabit bin Arqad enggan menjadi panglima perang. Maka kaum muslimin bersepakat untuk melantik Khalid Al-Walid menjadi panglima perang seterusnya. Maka pertempuran terus berlangsung tanpa menunjukkan tanda-tanda akan reda. Dan dengan kebijaksanaan Khalid Al-Walid,dia dan kaum muslimin berjaya menyekat kemaraan Rom. Pelbagai strategi digunakan termasuk menggunakan pasukan pemanah di kawasan bukit sebagaimana yang berlaku dalam perang Uhud seterusnya mengundurkan pasukan tentera Islam ke Madinah dengan selamat.

Imam Bukhari (RA) meriwayatkan dari Anas bin Malik (RA) bahawa sebelum kaum muslimin mendengar berita gugurnya 3 panglima perang mereka. Rasulullah (SAW) menyampaikan berita gugurnya Zaid, Jaafar dan Ibnu Rawahah kepada mereka kemudian bersabda: "Zaid memegang panji kemudian gugur. Panji itu diambil oleh Jaafar dan iapun gugur, panji itu diambil oleh ibnu Rawahah ia pun gugur pula. Ketika itu beliau menitiskan air mata seraya melanjutkan sabdanya: “..akhirnya panji itu diambil oleh "pedang Allah“ (Khalid bin Walid) dan akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada mereka (kaum Muslimin)".

Hadis ini jelas sekali menunjukkan bahawa tentera Islam sebenarnya tidak kalah,dan menafikan pendapat pengkaji sejarah bahawa kaum muslimin ketika itu sudah kucar-kacir sehingga tidak mampu untuk menahan asakan Rom lalu pulang ke Madinah. Strategi yang digunakan Khalid Al-Walid adalah berasas, kerana tidak mahu risiko kematian meningkat maka Khalid Al-Walid juga menggunakan pasukan pemanah untuk menahan asakan musuh.

Ibnu Hajar didalam kitab sejarah Al-Maghazi ada menyebut,Muaz bin Uqbah menyatakan:
Kemudian panji itu diambil oleh Abdullah bin Rawahah, dan ia pun gugur. Kemudian kaum Muslimin mengangkat Khalid bin Walid (sebagai panglima perang) dan akhirnya Allah mengalahkan musuh dan memenangkan kaum Muslimin.

Imad bin Katsir berkata : Dapat disimpulkan bahawa Khalid Al-Walid mengatur strategi dengan mengundurkan kaum Muslimin dan bertahan. Kemudian keesokkan harinya dia mengubah posisi pasukan, yang semalamnya di sayap kanan dipindahkan ke sayap kiri dan sebaliknya, untuk memberikan kesan kepada musuh bahawa kaum Muslimin mendapat pasukan tentera bantuan. Kemudian Khalid menyerang mereka dan berjaya mengimbangi tempo peperangan, tetapi Khalid tidak mengejar mereka dan melihat kembalinya kaum Muslimin (ke Madinah) merupakan pampasan yang sangat besar“.

Apabila mereka selamat sampai ke Madinah,mereka disambut oleh Rasulullah (SAW) dan kaum muslimin yang lain yang berduyun-duyun datang menjemput mereka. Rasulullah (SAW) bersabda:

"Ambillah anak-anak dan gendonglah mereka. Berikanlah kepadaku anak Jaafar. Kemudian dibawalah Abdullah bin Jaafar dan digendong oleh Rasulullah (SAW). Tetapi sebahagian yang lain berteriak dan memaki mereka.

"Wahai orang-orang lari,kalian lari di jalan Allah!"

Kemudian Rasulullah (SAW) membantah tindakan mereka dengan sabdanya:

"Mereka tidak lari (dari medan perang),tetapi berundur untuk menyerang kembali,insyaALLAH".
Share on Google Plus

About Saiful Islam

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

2 passengers:

zizo said...

Kenapa Rasulullah tidak ikut serta?

Anonymous said...

saya nk copy..tq